Sunday, December 28, 2014

Cinta

Ada apa dengan cinta?

Rasa.

Rasa apa?

Entah. Rumit.

Rasa suka?

Bukan. Lebih dari itu.

Sayang?

Bukan juga. Lebih lagi.

Apa saja yang lebih tinggi dari sayang?

Takut. Takut kehilangan.

Tuesday, December 16, 2014

Sepi

Aku mahu bersendirian, dari dilema dan kebingungan.
Aku mahu menyendiri, dari perasaan yang menyesakkan.
Aku mahu seorang diri, dari segala emosi dan ragam manusiawi.

Aku hanya mahu lari, dari persoalan-persoalan yang tidak punya jawapan.

Friday, July 4, 2014

Antara 3 bulan dengan 3 jam

"Aku bagi kau 3 bulan untuk belajar ilmu-ilmu ni".

Razil senyum. Arahan Tok Guru amatlah mudah. 3 bulan, 100 mukasurat ilmu-ilmu manusia yang perlu dihafal dalam minda. Lebih dari cukup.

1 bulan. 2 bulan. 3 bulan.

"Aku bagi kau 3 jam untuk luah balik apa yang kau dah belajar 3 bulan ni".

Razil cebik. Arahan Tok Guru begitu susah. 3 jam, 100 mukasurat ilmu-ilmu manusia yang perlu diingat dan disaring penuh cermat dan pantas untuk dicatat atas kertas. Jauh dari cukup.

1 jam. 2 jam. 3 jam.

Razil mengeluh. Jarinya lenguh. Beliau tarik nafas dalam. Hembus.

Arahan-arahan Tok Guru ini, tiada siapa berani membantah. Kalau ada pun, suaranya tenggelam timbul. Termasuk suara Razil sendiri.

Lepas 5 minit rungut sesal, Razil istighfar. Beliau ucap syukur semula. Beliau masih hidup di bumi bertuah. Bumi di mana amalan ini terus mekar buat 100 tahun seterusnya.

Sunday, June 22, 2014

Sisa Untuk Gembira

Senyumlah, pada tiap memori indah yang masih bersisa.

Itu tandanya kita masih mampu gembira.

Hatta sesaat cuma, daripada tiada.

Jalan untuk lari

Ada masanya, bila kamu sudah benar-benar lelah dengan segala yang berlaku disekeliling kamu, pasti ada bisik yang mengharap untuk kamu diberikan jalan mudah untuk bebas dari segala keserabutan tersebut.

Jalan mudah ini, adalah harapan mustahil agar diberi peluang kedua untuk mulakan segalanya sekali lagi, supaya semua dapat dibetulkan kembali.

Aku?

Aku tidak mahukan pilihan ini.

Aku hanya mahu untuk senyap, menjauh dari segalanya. Menyepi dari segala riuh dan sesak kejadian juga perhubungan yang saling berkait dan makin berselirat ini.

Aku hanya mahu mendiam, biar segalanya perlahan-lahan kembali tenteram.

Aku hanya mahu cepat mampir ke depan. Biar lepas dari segalanya.

Aku hanya mahu cepat melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan, yang mana aku lepas dari segala tali-tali yang makin kusut simpulannya ini.

Hidup baru. Orang baru. Kisah baru. Yang aku bisa karang semula dengan penuh cermat agar tidak begini lagi jadinya. Seperti ini. Seperti yang sedang berlaku sekarang ini.

Tapi, secermat mana pun aku mengarang nanti, pasti akan ada celanya juga. Ah tidak kisahlah, asalkan tidak lagi selelah ini kisahnya.

Saturday, June 21, 2014

Belajar

Orang yang benar-benar belajar adalah orang yang bila dia belajar dia jadi makin pandai, dan makin bodoh.

Makin pandai sebab bila dia belajar, makin banyak jawapan yang dia akan dapat.

Makin bodoh sebab bila dia belajar, makin banyak juga persoalan baharu yang akan muncul.

Persoalan baharu yang muncul ini penting. Sebab kalau kita belajar dan hanya terima jawapan saja, tanpa ada soalan baharu yang muncul di benak kita, maksudnya kita bebal yang hanya menerima tanpa berfikir.

Orang yang berfikir, adalah orang yang mempersoalkan jawapan-jawapan yang diterimanya. Bukan terima saja membuta tuli, menghafal tanpa memahami.

Soalan-soalan baharu ini akan hadir apabila jawapan-jawapan yang diterima dihubungkaitkan dengan soalan serta jawapan lain yang akhirnya akan membina rantaian soalan-jawapan yang lain.

Makanya, kalau soalan baharu tidak muncul, maksudnya proses menghubungkaitkan ini tidak berlaku. Kalau proses menghubungkaitkan ini tidak berlaku, maksudnya proses berfikir pun tidak berlaku.

Kalau proses berfikir tidak berlaku, maksudnya apalagi, dungu.

Hidup ini adalah soalan yang disusul jawapan. Dan sebanyak mana jawapan yang kita terima, akan lebih banyak lagi soalan-soalan baharu yang timbul.

Satu jawapan yang muncul, sepuluh soalan baharu menyusul.

Sebab?

Supaya manusia tidak akan pernah berhenti berusaha untuk belajar. Supaya manusia tidak cepat merasa cukup dengan sekadar apa yang sudah dicapai. Supaya tamadun manusia tidak akan tersekat pada satu tahap sahaja. Supaya kita manusia sentiasa maju ke hadapan dalam ilmu-ilmu untuk memajukan kita.

Sebab yang lebih utama?

Kita manusia, bukan Tuhan yang Maha Tahu Segala.

Tuesday, May 27, 2014

Hidup perlukan kekuatan.

Dan kekuatan, sangat sukar didapati.

Apatah lagi senang sekali menghilang saat sudah dijumpai.

Kekuatan, tidaklah ampuh, begitu rapuh, mudah meluruh.