Saturday, June 21, 2014

Belajar

Orang yang benar-benar belajar adalah orang yang bila dia belajar dia jadi makin pandai, dan makin bodoh.

Makin pandai sebab bila dia belajar, makin banyak jawapan yang dia akan dapat.

Makin bodoh sebab bila dia belajar, makin banyak juga persoalan baharu yang akan muncul.

Persoalan baharu yang muncul ini penting. Sebab kalau kita belajar dan hanya terima jawapan saja, tanpa ada soalan baharu yang muncul di benak kita, maksudnya kita bebal yang hanya menerima tanpa berfikir.

Orang yang berfikir, adalah orang yang mempersoalkan jawapan-jawapan yang diterimanya. Bukan terima saja membuta tuli, menghafal tanpa memahami.

Soalan-soalan baharu ini akan hadir apabila jawapan-jawapan yang diterima dihubungkaitkan dengan soalan serta jawapan lain yang akhirnya akan membina rantaian soalan-jawapan yang lain.

Makanya, kalau soalan baharu tidak muncul, maksudnya proses menghubungkaitkan ini tidak berlaku. Kalau proses menghubungkaitkan ini tidak berlaku, maksudnya proses berfikir pun tidak berlaku.

Kalau proses berfikir tidak berlaku, maksudnya apalagi, dungu.

Hidup ini adalah soalan yang disusul jawapan. Dan sebanyak mana jawapan yang kita terima, akan lebih banyak lagi soalan-soalan baharu yang timbul.

Satu jawapan yang muncul, sepuluh soalan baharu menyusul.

Sebab?

Supaya manusia tidak akan pernah berhenti berusaha untuk belajar. Supaya manusia tidak cepat merasa cukup dengan sekadar apa yang sudah dicapai. Supaya tamadun manusia tidak akan tersekat pada satu tahap sahaja. Supaya kita manusia sentiasa maju ke hadapan dalam ilmu-ilmu untuk memajukan kita.

Sebab yang lebih utama?

Kita manusia, bukan Tuhan yang Maha Tahu Segala.

No comments:

Post a Comment