Monday, March 7, 2011

Sayangkan Jawatan

Saya percaya kepada satu perkara ini. Salah satu penyakit yang paling menakutkan yang boleh dihidapi oleh seseorang pemimpin adalah,

'Sayangkan Jawatan'.

'Sayangkan Jawatan' pada saya adalah racun kepada mana-mana pentadbiran. Kelancaran dan kejayaan sesebuah pentadbiran akan goyah jika ada mana-mana ahli dalam pentadbiran tersebut yang menghidap penyakit ini.

Tatkala sudah jelas ada yang sudah tidak menyenangi tampuk pemerintahan anda, ditambah yang tidak senang adalah entiti majoriti, buat apa mahu tebalkan lagi muka masih mahu memegang kuasa, pura-pura duduk dengan selesa di atas kerusi yang sama. Walhal sudah jelas kedengaran bisik-bisik mahupun jerit-jerit suara yang mahukan kerusi itu berubah tuan.

Hakikatnya, memang hakiki manusia gilakan kuasa. Mengejar jawatan sudah jadi perlumbaan biasa yang boleh dilihat dimana-mana. Sekali sudah jawatan dalam genggaman, hendak dilepas sampai kesudah diharap jangan. Jawatan bagi manusia adalah puncak pencapaian. Dengan jawatan, maka kuasa sudah dalam genggaman. Bila kuasa sudah di tangan, apa yang diimpi bisa jadi kenyataan. Mimpi tidak perlu lagi jadi mimpi. Mimpi mustahil pun boleh jadi realiti.

Cuma, saya juga masih percaya pada persepsi masih ada lagi insan yang tidak punyai sifat ini. Siapa? Kita tunggu sahajalah. Sudah tiba saatnya nanti, dia keluar munculkan diri.

Tunggu dan lihat. Insya-Allah, masih ada. Amin.

Saturday, March 5, 2011

Sahabat, Teman, Kawan, Rakan

Entri kali ini adalah satu entri istimewa. Diluar kebiasaan corak, gaya dan stail penulisan saya. Lebih skematik dan nerda ayat-ayatnya. Mungkin akan ada yang bertanya, mengapa entri ini entri istimewa? Apakah kelainannya sehingga mampu membuatkan saya berkarya menggunakan susunan bahasa yang jarang sekali saya tinta. Jawabnya, kerana ini entri khas untuk seorang individu istimewa bergelar sahabat.

Sejujurnya saya bukanlah jenis orang yang pandai bermadah dan menyusun kata secara puitis. Oleh itu, entri ini akan kelihatan seperti entri yang biasa-biasa sahaja. Membosankan untuk dibaca. Namun, satu jaminan yang berani saya berikan, ini adalah entri yang saya tinta dengan makna yang amat saya maksudkan.

Hierarki penceritaan akan saya susulkan terus kepada isi utama yang ingin saya sampaikan. Saya tidak mahu ini jadi entri yang meleret. Saya mahu maksud dan makna asli isi entri ini sampai kepada pembaca.

Melangkah ke dalam fasa kehidupan selaku seorang penuntut di salah satu institusi pendidikan tinggi awam tempatan, menuntut saya untuk mengasah dan mengaplikasi kemahiran bersosial yang sangat ampuh bersama komuniti di sekeliling. Sebabnya? Tiada katak di bawah tempurung yang mampu 'survive' dalam suasana kehidupan alam universiti yang sangat mencabar ini. Begitu juga saya.

Dan oleh kerana realiti di atas lah, menjadi sebab utama saya untuk menghulur rasa dan kata terima kasih yang sangat dan amat tidak terhingga kepada seorang insan bernama Mohamad Azizul Haqim Bin Ramli. Beliau sahabat baik saya di alam universiti ini. Jujur saya katakan, seribu satu manfaat yang sangat saya dambakan selama ini akhirnya saya perolehi setelah menjalin status sebagai sahabat baik beliau.

'Sahabat baik beliau'. Ya, sahabat baik beliau, itu rasa dan persepsi dalam diri saya sekarang. Saya anggap beliau sebagai sahabat baik saya. Namun, tidak mengapa jika saya bertepuk sebelah tangan semata-mata. Hak dia untuk menafikannya. Saya akan kekal dengan anggapan yang sama.

Salah satu perkara yang sangat saya hargai adalah kerana beliau banyak membantu saya bersosial dengan lebih baik bersama komuniti di sekeliling kami. Jika saat beliau mengetuk pintu bilik saya itu tidak pernah terjadi sebelum ini, yang mana menjadi detik permulaan persahabatan kami, mungkin kini saya masih lagi menjadi katak di bawah tempurung di kampus tempat saya belajar kini. Oleh sebab itulah, tidak terlalu hiperbola untuk saya katakan jasa beliau berharga, berharga dan sekali lagi saya katakan, BERHARGA untuk saya.

Cuma, ada beberapa saranan daripada kotak minda ini yang ingin saya sampaikan kepada beliau.

Satu hakikat yang perlu kita terima, diciptakan manusia itu tidak sempurna kejadiannya. Tidak sebaik malaikat, tidak sejahat syaitan. Namun percayalah, perkara inilah sebenarnya yang menjadikan kita sebaik-baik ciptaan. Kerana ketidaksempurnaan itulah yang membuatkan kita perlu saling melengkapi antara satu sama lain. Itulah perlunya sahabat. Melengkapkan apa yang tidak.
Semat di hati juga, setiap kekurangan yang kita rasakan menconteng diri kita ini sebenarnya adalah kelebihan yang menghiasi diri kita. Syukur dengan apa yang ada. Sehitam mana kulitmu, seburuk mana wajahmu, seteruk mana suaramu, hatta secacat mana kejadianmu sekalipun, yakinlah dengan satu hakikat ini, Allah tahu yang terbaik untukmu.
Sahabat, teman, kawan, mahupun rakan. Walau apa gelarannya, takrifnya tetap sama. Selagi maksud itu ditafsir dengan sebuah keikhlasan dalam menjalinkan hubungan, dengan izin Yang Maha Esa, sebuah hubungan persahabatan yang diredhai Allah adalah jaminan.